Petanda Si Dia Adalah Jodoh Kita Paling Tepat, Tak Perlu Aura Ke 19
Petanda Si Dia Adalah Jodoh Kita Paling Tepat, Tak Perlu Aura Ke 19
Jika anda sedang dalam proses mengenali hati budi seseorang, mungkin anda masih keliru atau tertanya-tanya – adakah dia pasangan hidup anda yang sebenar? Macam mana nak tahu dia jodoh kita?
Jangan risau, jom tengok 10 petanda yang dia itu jodohkita.
Mana tahu, dengan bantuan dari tip ini, anda dapat membuat salah satu keputusan yang terbesar dalam hidup anda untuk mendirikan rumah tangga!
1. Anda Berasa Selesa Berada Di Sampingnya
Antara tanda dia jodoh kita boleh dilihat dari segi perasaan selesa yang kita alami. Contohnya, adakah anda selalu berasa tenang apabila bertemu dengannya? Tidak serabut kepala atau rasa tertekan.
Jika ya, ia mungkin kerana adanya keserasian, dan itu adalah salah satu resepi penting dalam kemakmuran rumah tangga!
2. Dia Dapat Memahami Anda
Selalunya, jika tiada keserasian antara anda dan pasangan, dia tidak dapat memahami anda dengan baik. Dia tidak sedar anda dalam masalah ataupun tidak dapat mengesan kegembiraan atau kesedihan kita.
Namun, jika dia adalah pasangan anda yang telah ditentukan di Luh Mahfuz, sudah tentu si dia itu sangat boleh membaca minda dan gerak hati anda. Apabila murung sahaja, cepat-cepat dia mengesan dan bertanya tentangnya.
Ataupun, jika anda membuat sesuatu keputusan, dia dapat memahami dan menyokongnya.
3. Dia Jujur dan Prihatin
Jika anda perasan, selalunya seseorang yang jujur dengan kita akan selalu menjadi dirinya sendiri. Dia tidak perlu berlakon untuk menyenangkan hati kita. Jika pasangan anda ada menunjukkan sifat asli ini, mungkin ia adalah tanda lelaki itu jodoh kita.
Jika dia selalu memberikan pandangannya demi untuk kebaikan kita, itu sifat jujur yang dicari. Malah, dia tidak perlu untuk menunjuk-nunjuk. Dia bersedia untuk menjadi diri sendiri seadanya.
4. Dia Sudi Membawa Kita Bertemu Ibu Bapa dan Keluarganya
Lagi satu tanda dia jodoh kita adalah tanpa berlengah, dia sudi untuk membawa kita bertemu dengan ibu, bapa dan adik beradiknya yang lain. Bagi dirinya, tidak ada apa yang perlu disorokkan.
Kalau seseorang itu hanya mahu bermain-main dengan kita, sudah tentu dia akan berdalih untuk membawa kita berjumpa ahli keluarganya.
Iyalah, dia kan hanya mahu berseronok-seronok sahaja? Pasti belum terlintas pun dalam hatinya untuk berkahwin.
5. Dia Melakukan perkara yang Menunjukkan Pengorbanan
Adakah pasangan anda selalu menunjukkan sifat membantu atau sanggup berkorban untuk anda? Jika anda memberitahunya pada tengah malam yang anda lapar, adakah dia sanggup untuk membeli dan menghantar makanan ke rumah?
Jika dia sanggup dan sering melakukan perkara yang menyentuh hati, sudah terbukti ada rasa sayang dan ikhlas dalam hatinya untuk anda – itulah tanda jodoh!
6. Anda boleh Meluahkan Masalah Tanpa Rasa Dihakimi
Percaya atau tidak, ada sesetengah orang mampu untuk membuatkan kita berasa teragak-agak untuk berkongsi masalah dengannya. Namun, jika anda tidak berasa sebegitu dengan pasangan anda, ia adalah satu petunjuk yang bagus.
Apabila anda berkongsi masalah dengan pasangan dan dia selalu memberikan pandangan yang membantu, ia menunjukkan sisi matangnya.
Dia pasti tidak mudah untuk menghakimi dan membuatkan anda rasa lebih teruk!
7. Dia Menunjukkan Rasa Hormat Pada Anda serta Ibu Bapa
Tiada yang lebih teruk daripada seseorang yang tidak tahu erti hormat. Jika si dia itu selalu berlaku kasar kepada anda, mungkin itu adalah isyarat yang menunjukkan anda patut melupakannya.
Seseorang yang benar-benar petanda jodoh kita akan selalu menyayangi dan menghormati kita – dari segi percakapan dan perbuatan.
Malah, jika dia benar-benar menyayangi anda, dia juga akan turut menghormati ibu bapa anda, kan? Yelah, mereka kan insan yang banyak berjasa dalam hidup anda!
8. Gaduh yang Tidak Berpanjangan
Sudah pasti, dalam setiap perhubungan, ada pasang surutnya. Pergaduhan pasti akan berlaku. Anda mungkin berasa marah atau dia mungkin berasa tidak puas hati terhadap sesuatu perkara.
Namun, yang paling penting, adakah terdapat tolak ansur di dalam hubungan terbabit? Macam mana hendak tahu?
Begini, jika anda perasan yang si dia itu sifatnya susah marah dan cepat sejuk, maka dia sememangnya calon yang sesuai dan yang anda tunggu-tunggu selama ini ia jodoh dari Allah.
9. Dia Mengambil Berat Akan Anda
Ya, ada sesetengah orang mungkin menyayangi anda, namun adakah dia mengambil berat tentang anda? Contohnya, walaupun dibebani dengan urusan kerja, adakah dia masih mengambil tahu akan hari-hari anda?
Jika seseorang itu memang jodoh kita, selalunya akan terpancar rasa tanggungjawab dan ambil berat itu.
Dia akan selalu bertanya khabar, ingin tahu keadaan semasa anda, dan sudi meluangkan masa dengan anda dan bukannya terperuk di rumah atau pejabat sahaja.
10. Rasa Percaya yang Kuat
Lagi satu tanda dia jodoh kita adalah ada rasa percaya yang kuat antara anda dan dirinya. Sifat boleh dipercayai dan mempercayai ini adalah penting dalam membina hubungan yang kukuh dan berpanjangan.
Contohnya, jika dia bercuti atau bekerja ke luar negeri, adakah anda boleh mempercayainya 100% atau ada rasa ragu-ragu dalam diri?
Jika anda selalu tertanya-tanya adakah dia curang di belakang anda, itu adalah tanda yang belum ada rasa percaya yang kuat, dan itu boleh menjadi isyarat yang kurang baik.
Comments
Post a Comment